Teks Ucapan
YB Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti
Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang
Isa bin Pehin Datu Perdana Menteri
Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim,
Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
di Jabatan Perdana Menteri merangkap
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
Di Majlis Pelancaran Tapak Web e-Government
Anjuran Jawatankuasa Eksekutif e-Government
Bertempat di Dewan Amar Pahlawan,
Bangunan Kementerian Perhubungan, Berakas
Pada hari Khamis, 12hb Syawal 1422
bersamaan 27hb Disember 2001
jam 9.15 pagi
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria bin Datu Mahawangsa Haji Sulaiman, Menteri Perhubungan yang juga Pengerusi BIT Council,
Yang Mulia Dato Paduka Haji Yakub bin Abu Bakar, Timbalan Menteri Kewangan,
Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah,selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif e-Government;
Yang Mulia, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif e-Government;
Yang Dimuliakan / Yang Mulia, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha-Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, serta Pegawai-pegawai Kanan, Hadirin Hadiran yang dihormatini sekalian.
Alhamdulilah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmatnya mengizinkan kita hadir beramai-ramai di majlis yang berkebajikan ini.
Selawat serta salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad Salallahu 'Alaihi Wassallam, kaum kerabat, para sahabat dan pengikut Baginda yang taat setia hingga ke akhir zaman.
Terlebih dahulu saya dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif e-Government selaku penganjur Majlis ini kerana menjemput saya hadir bagi menyempurnakan "Majlis Pelancaran Tapak Web e-Government".
Pelancaran Tapak Web ini sesungguhnya merupakan satu mercu tanda yang penting dalam perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam khususnya dalam usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada memanfaatkan kemajuan teknologi info-komunikasi dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan awam.
Usaha yang dikendalikan ini pernah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda pada 15hb Julai 2001.
Antara lain Baginda bertitah : "Dalam usaha untuk melicinkan jentera pentadbiran dan mewujudkan perkhidmatan yang lebih customer-focused, usaha ke arah memperkenalkan e-Government telah pun dilaksanakan melalui penubuhan Jawatakuasa Eksekutif e-Government."
Titah Baginda lagi : "Dengan penubuhan ini, satu perubahan sikap kerja dan kemahiran menggunakan sikap kerja dan kemahiran menggunakan teknologi informasi dan komunikasi hendaknya dapat dihasilkan." Demikian titah Baginda.
Dalam hubungan ini Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah menubuhkan Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan atau BIT Council dengan hasrat untuk membantu menerapkan strategi-strategi dan rancangan tindakan kebangsaan dalam bidang infokomunikasi.
Kesemuanya itu tujuannya, tidak lain, adalah untuk meningkatkan lagi keupayaan jentera pentadbiran Kerajaan pada memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada pihak pelanggan, terutama sekali orang ramai yang memerlukan perkhidmatan.
Kejayaan pada melaksanakan segala strategi dan rancangan tindakan itu bergantung pula kepada komitmen dan kesungguhan setiap Kementerian dan agensi Kerajaan yang berkenaan kerana tanpa adanya komitmen dan kesungguhan setiap kementerian dan agensi Kerajaan yang berkenaan kerana tanpa adanya komitmen dan semangat berpasukan serta kerjasama padu dari semua pihak, usaha yang dianjurkan tidak akan membuahkan hasil yang dihajati.
Bahkan kesungguhan dan komitmen tenaga manusia khususnya perubahan dari segi sikap dan mindset mereka adalah merupakan antara faktor utama yang tidak kurang pentingnya daripada critical success factors yang lain dalam mewujudkan perkhidmatan awam yang cemerlang.
Di samping itu, adalah juga mustahak diberikan penekanan terhadap langkah-langkah follow-up dan langkah-langkah follow-through bagi memastikan sejauh mana usaha yang dikendalikan itutelah menepati sasarannya serta mencapai matlamatnya, dalam rangka waktu serta anggaran kos yang dijangkakan.
Buat mengakhiri ucapan saya ini, sama-sama kita berdoa semoga segala daya usaha yang kita kendalikan itu akan mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah Subhanahu Wata'ala serta mendapat hasil yang dihajati, dan mudah-mudahan pelancaran Tapak Web e-Government ini akan memajukan lagi usaha kita pada mencapai perkhidmatan awam yang berkualiti serta cemerlang.
Dengan mendahulukan kalimat "Bismillahir Rahmanir Rahim" serta Selawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam, saya dengan sukacita melancarkan "Tapak Web e-Government".
Sekian Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.