Teks Ucapan
Yang Mulia Dato Paduka Haji Hazair bin Haji Abdullah
Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri
Selaku Pengerusi Jawatankuasa
Eksekutif Program e-Government
Sempena Majlis Pelancaran Tapak Web Rasmi e-Government
Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan
pada
12 Syawal 1422 bersamaan 27 Disember 2001
Yang Berhormat
Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Menteri Laila Utama Haji Awang Ibrahim, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Tetamu Kehormat,
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria bin Datu Mahawangsa Haji Sulaiman, Menteri Perhubungan dan juga Pengerusi BIT Council,
Yang Mulia Dato Paduka Haji Yakub bin Abu Bakar, Timbalan Menteri Kewangan,
Yang DiMuliakan dan Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Perwakilan-Perwakilan Pihak Swasta, Para Hadiran dan hadirat yang dihormat sekalian.
Alhamdulilah, segala puji-pujian bagi Allah Subahanahu Wata'ala yang telah mengizinkan kita berkumpul pada pagi ini di majlis Pelancaran Tapak Web Rasmi e-Government. Selawat serta salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallau Alaihi Wassalam, kerabat dan para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Terlebih daulu peramba/koala/saya bagi mewakili Jawatankuasa Majlis Pelancaran Tapak Web Rasmi e-Government pada pagi ini, ingin merakamkan perasaan amat berbesar hati dan penghargaan yang setinggi-tingginya di atas kesudian tetamu kehormat kita, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri hadir ke Majlis pada pagi ini dan seterusnya merasmikan Tapak Web Rasmi e-Government.
Kehadiran Yang Berhormat Pehin pada pagi ini adalah merupakan seagai sokongan dan dorongan kepada usaha-usaha kearah memperkenal dan melaksanakan e-Government pada memanfaatkan aplikasi teknologi info-komunikasi di dalam perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam.
Dengan adanya pelancaran Tapak Web e-Government ini, maka akan dapatlah Jawatankuasa Eksekutif Program e-Government ini menampilkan dan menyebarluaskan lagi perkembangan aktiviti-aktiviti yang berhubung kait dengan e-Government; dan yang penting sekali ialah membolehkan bagi penyaluran informasi dan penyertaan inter-aktif kepada pihak awam khususnya.
Hadiran yang dihormati:
Kita pada saat ini sedang mengharungi era perkembangan pesat teknologi komunikasi dan maklumat. Di sekeliling kita, kita akan dapat menyaksikan betapa teknologi ini merubah cara kehidupan (life style), cara berkerja dan cara berinteraksi.
Yang jelas juga nampak kepada kita ialah teknologi komunikasi dan maklumat, memainkan peranan yang semakin penting dalam pengurusan dan pentadbiran satu-satunya organisasi. Kemudahan seperti ini bukan saja telah dapat membantu mempercepatkan proses-proses kerja dan pentadbiran tetapi juga membantu dalam pembuatan keputusan yang bersandarkan kepada maklumat-maklumat yang lebih mudah diperolehi serta lebih cepat di analisa dengan tepat.
Dengan waktu yang sama melalui aplikasi teknologi informasi dan maklumat sepenuhnya di dalam perkhidmatan awam ianya akan dapat meningkatkan daya produktibiti, keberkesanan, kebolehan (capability) dan kemampuan (capacity) perkhidmatan awam.
Sesuai dengan perkembangan inilah maka kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengusahakan program e-government dengan penubuhan satu Jawatankuasa Eksekutif e-Government yang ahli-ahlinya di anggotai oleh Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian. Ini adalah semata-mata bertujuan komunikasi dan maklumat yang akan dapat memodenkan lagi sistem pentadbiran dan pengurusan Perkhidmatan Awam sesuai dengan keperluan dan kehendak semasa.
Hadiran yang dihormati:
Antara inisiatif-inisiatif utama yang dijalankan oleh Jawatankuasa Eksekutif Program e-Government ini ialah perlaksanaan satu pelan tindakan strategic bagi menggalak penggunaan teknologi maklumat di kalangan Kementerian-Kementerian, Jabatan-Jabatan dan Agensi-Agensi Kerajaan. Pelan tindakan ini akan mendokong pencapaian matlamat yag dihasratkan di dalam Wawasan Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam Abad ke 21.
Aplikasi-aplikasi umum (common flagship applications) yang telah dikenalpasti oleh Jawatankuasa Eksekutif ialah Sistem-Sistem TAFIS yakni Sistem Maklumat Perbendaharaan, Akaunting dan Kewangan yang termasuk Pengurusan Projek dan e-Pemerolehan (Procurement), Pengurusan Sumber Manusia (HRM), Bursa Buruh (Labour Exchange) dan GITnet, BIT Center dan Suasana Pejabat Gunasama (Common Office Environment).
Hadiran yang dihormati,
Disamping penyediaan pasarana (infrastruktur), hardware dan software yang di perlukan, cabaran besar yang di hadapi dalam pelaksanaan e-Government ialah perubahan minda, sikap dan cara berkerja termasuk juga penguasaan teknologi komunikasi dan maklumat dalam pekerjaan di kalangan anggota perkhidmatan awam itu sendiri.
Menyedari akan keperluan ini, selari (in parallel) dengan usaha-usaha kearah penyediaan infrastruktur, hardware dan software ialah latihan-latihan penggunaan dan aplikasi teknologi maklumat dan perubahan sikap berkerja di kalangan anggota perkhidmatan awam juga telah di rancangkan.Berbagai kursus, latihan, woksyop dan seminar secara berterusan akan di adakan yang bertujuan bagi meningkatkan kemahiran anggota perkhidmatan awam di berbagai peringkat di dalam penggunaan dan aplikasi ICT di dalam suasana kerja pejabat.
Alhamdulilah, sempena Majlis Pelancaran ini juga akan diselajurkan dengan satu "Pameran Mini" yang khusus diadakan bagi mempamirkan perkhidmatan dan applikasi e-Government. Disamping itu, sessi taklimat mengenai applikasi-applikasi e-Government juga akan diadakan.
Bagi mengakhiri ucapan ini, peramba/koala/saya bagi mewakili Jawatankuasa Majlis Pelancaran Tapak Web Rasmi e-Government sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih di atas kehadiran Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Menteri Laila Utama Haji Awang Ibrahim, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ke Majlis ini dan seterusnya merasmikan Tapak Web Rasmi e-Government.
Peramba/Kaola/Saya juga mengucapkan berbanyak terimakasih dan penghargaan kepada semua yang hadir di Majlis ini dan kepada semua pihak yang terlibat dalam mengendalikan majlis ini.
Sekian, wabillahit Taufik Wal Hidayah Wassalam Mu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.